Pilihan raya 1959 Ahmad_Boestamam

Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di Kuala Lumpur di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia. Namun, Ishak Haji Muhammad dari Parti Buruh kalah di Temerloh, Pahang.

Ketika itu Perdana Menteri Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini ialah yang pertama selepas kemerdekaan 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat, bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu, Sabah dan Sarawak belum menyertai dan membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah daripada 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi manakala pembangkang menang 30 kerusi.